“Saya Serius, Mahu Kuasa Penuh Dalam FAM!”

PETALING JAYA: Belum pun reda isu Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu meletak jawatan, sudah ada yang sudi untuk mengambil alih posisi ‘panas’ dalam bola sepak negara itu.

Iskandar Salleh mungkin bukan nama besar dalam dunia bola sepak kerana dia tidak memegang apa-apa jawatan dalam FAM, namun keinginan jurulatih kecergasan (Strenght and Conditioning) itu untuk menggantikan TMJ dianggap sesuatu yang gila!

“Ya saya memang gila kerana sudah tidak sanggup lagi untuk melihat ranking negara kita terus jatuh (178). Sebenarnya ia bukan salah pengurusan, bukan salah jurulatih, tetapi keadaan pemain kita sendiri.

“Sebenarnya cadangan mengenai perkara ini telah diajukan kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan FAM sejak tahun 2013. Tetapi tidak ada apa-apa maklum balas.

“Punca pasukan tidak mampu bertahan lama di padang adalah kerana mereka tidak cukup latihan ‘strenght and conditioning’.

“Mungkin dalam negara mereka semua nampak bagus, tetapi apabila bertemu dengan lawan yang mempunyai kekuatan fizikal, kita ‘out’. Itulah yang berlaku sekarang.

“Luahan saya ini bukan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi saya yakin apa yang saya nampak ini akan membantu pasukan kebangsaan menjadi lebih baik. Saya hanya fikirkan nama negara, bukan untuk mengejar publisiti sahaja,” ujarnya dalam satu temuramah eksklusif bersama mStar Online, Rabu.


Iskandar memberi sebab kenapa mahu jadi presiden FAM di Facebooknya.

Iskandar, 43, yang merupakan bekas pemain ragbi kebangsaan pada tahun 2001-2005 juga mendedahkan mengapa beliau hanya menawarkan diri untuk posisi presiden FAM.

“Kerana saya mahukan kuasa sepenuhnya untuk menjalankan program ini kepada semua pasukan negeri. Saya sendiri yang akan turun berjumpa setiap pasukan menjelaskan apa itu S&C. Sebab bagi saya kalau program ini dibuat dengan campur tangan, sudah tentu ia tidak akan berjaya.

“Saya memang serius. Dan jika bukan jawatan presiden dan FAM beri peluang, saya terima. Yang penting jangan ganggu apa yang saya buat, tunggu hasilnya sahaja.

“Saya hanya minta lapan bulan, dan lihat apa yang terjadi kepada pemain kebangsaan. Keaadaan fizikalnya, kepantasan, kekuatan dan sebagainya. Saya hanya akan jaga bab ini sahaja. Dan ia langsung tidak melibatkan  jurulatih kerana saya bukan jurulatih bola sepak,” katanya lagi.

Menurut Iskandar, tidak ada guna menyalahkan sesiapa dan menukar presiden, jurulatih jika bahagian S&C tidak diterapkan kepada pemain.

“Saya bukan bercakap kosong kerana hasilnya telah dibuktikan dengan beberapa pemain yang datang sendiri menjalani latihan secara peribadi dengan saya.

“Mereka sendiri mencari inisiatif untuk meningkatan prestasi mereka kerana ada sesetengah jurulatih tidak boleh terima apa yang saya ajarkan ini. Ada jurulatih yang tidak faham bahawa prestasi pemain bukan hanya tertumpu kepada corak dan taktikal, tetapi asasnya adalah kekuatan pemain.

“Kalau bermain 90 minit, ada yang sudah pancit, itu bermakna salah pemain. Bukan jurulatih,” ujarnya yang kini menjadi jurulatih S&C bagi pasukan PNSB FC dan Selangor United.


Tunku Ismail mahu meletak jawatan selepas ranking negara jatuh ditangga ke-178 minggu lalu.

Bagaimanapun, Iskandar sedar impiannya ini akan mendapat cacian dan tohmahan daripada pihak yang tidak faham tujuan sebenarnya.

“Di sini saya jelaskan, saya bukan nak cabar sesiapa. Tujuan saya hanya mahu membantu skuad negara. Itu sahaja. Bab lain tu saya yakin, kalau ranking kita sudah bagus, orang luar yang akan cari kita.

“Saya hormati apa yang presiden (TMJ) buat sejak memegang FAM. Banyak perubahan. Namun hanya bab ini sahaja tidak berjaya.

“Bagi saya mudah, bukti kegagalan pemain adalah berdasarkan keputusan perlawanan. Anda sendiri boleh lihat.”

Selain itu, Iskandar ada merancang memperkenalkan Lesen Pemain Profesional.

“Pemain profesional bukan sekadar masuk skuad kebangsaan sudah digelar pemain profesional.

“Lesen ini hanya layak diberi kepada pemain yang layak melepasi beberapa ujian. Pasukan bagus bukan berdasarkan stadium cantik atau penyokong yang ramai tetapi kekuatan mereka (pemain).

“Saya mahu menjadikan pemain kita mempunyai strength & conditioning setaraf pemain antarabangsa lain,” ujarnya.

Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/sukan/bola-sepak/2018/03/21/iskandar-salleh-tawar-jadi-presiden-fam/#2jCgE0VzgvOZgYxs.99

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *