‘Bila pula dua tahun bermasalah?’ – Inilah Respon Intan Yang Membuatkan Ude Tergamam Sayu..

INTAN ketika ditemui media di Mahkamah Syariah Gombak Timur. – Foto Rosdan Wahid

KUALA LUMPUR: “Bagaimana timbul cerita hubungan kami bermasalah sejak dua tahun lalu sedangkan anak kedua baru berusia setahun?”

Itu persoalan dikemukakan Intan Lian Saleh ketika mengulas dakwaan bekas suami, Muhammad Radzi Abdul Wahid, 30, atau Ude mengenai hubungan mereka yang dikatakan bermasalah sejak dua tahun lalu.

Mengaku terkejut dengan kenyataan bekas suami kepada media sebaik prosedur lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, selesai, pagi tadi, Intan, 33, mendakwa dia tidak tahu menahu pucuk pangkal komen yang dibuat Ude.

“Saya pernah buat pengakuan reda untuk dimadukan selepas terbongkarnya perkahwinan bekas suami dengan pelakon, Izreen Azminda.

“Sekiranya benar Ude tidak bahagia dengan saya, adakah selama ini dia sekadar berlakon?

“Saya terkejut apabila faktor tidak bahagia itu dijadikan salah satu punca (perceraian)… Terpulanglah kepada mereka di luar untuk menghakimi sendiri situasi ini,” katanya ketika dihubungi BH Online.

Ketika ditemui media pagi tadi, Ude mendakwa bekas isterinya mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung kemelut rumah tangga mereka.

Pemuzik bebas itu mendakwa masalah rumah tangga mereka sudah lebih dua tahun berlarutan, sebelum beliau mengenali Izreen yang dinikahinya, Ogos lalu.

Ude melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin, pada jam 9.50 pagi, selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan, Januari lalu.

Intan berkata, dia tidak berniat membuka aib sesiapa mengenai komen dibuat bekas suaminya itu.

“Saya tidak berniat membuka aib sesiapa. Saya cuma terpanggil membuat kenyataan bagi membetulkan apa yang tidak benar.

“Saya juga terkilan apabila diminta berhenti membuat ‘drama’ dengan menggunakan air mata,” katanya.

Intan dan Ude bernikah pada 1 Mac 2013 dan dikurniakan dua iaitu Arish Muqri, 3, dan Ariq Muqri yang berusia setahun.

November lalu, kontroversi tercetus apabila Izreen mendedahkan berkahwin dengan Ude secara tertutup pada 8 Ogos lalu. Pernikahan itu dirahsiakan atas permintaan Ude. – Bh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *