‘Berdoa’ Main Mobile Legends Sebelum Nikah, Ini Jawab Pengantin!

Aksi Mohamad Haffizul selepas dinikahkan dengan sekali lafaz.

PETALING JAYA: Berbaju Melayu putih lengkap bersampin dan bersongkok, seorang pengantin lelaki dirakamkan aksinya duduk bersila dan menundukkan kepala sambil ‘menadah tangan’ pada hari pernikahan.

Bagaimanapun, gambar tersebut yang menunjukkan pengantin asyik bermain permainan mudah alih popular, ‘Mobile Legends’ mencetuskan pelbagai reaksi netizen.

Ia mula tular pada Rabu selepas dimuat naik seorang jurugambar di Facebook ‘Rudy Aqsara’.

Pengantin lelaki, Mohamad Haffizul Hilmi Abdul Ali, 28, berkata, gambar tersebut dirakamkan secara kandid sebelum akad nikah berlangsung di Masjid Kampung Telok Kitang di Pengkalan Chepa, Kelantan pada 17 Mac lalu.

Pengantin lelaki sedang bermain permainan ‘Mobile Legends’ pada majlis akad nikah, tular di media sosial. Foto Rudy Aqsara

Mengakui dirinya adalah pengikut tegar permainan mudah alih, pemuda yang berasal Tumpat, Kelantan itu menjelaskan perbuatan tersebut bukan disengajakan.

“Rasa gementar pada hari nak nikah. Tapi ada ‘masalah’ yang tidak disengajakan membuatkan tok kadi tiba lewat ke masjid.

“Sementara menunggu tu saya bukalah sekejap ‘Mobile Legends’. Bila dah lama menunggu kira-kira dua jam, perasaan gementar tu dah hilang,” katanya kepada mStar Online.

Selepas hampir setahun menyulam cinta, Mohamad Haffizul disatukan dengan Fatin Fatihah Shamsuddin, 28, sebagai suami isteri dengan sekali lafaz.

Mohamad Haffizul yang mengusahakan restoran di Kota Bharu berkata, minatnya terhadap permainan video telah lama diketahui isterinya sejak di awal perkenalan.


Mohamad Haffizul dan Fatin kini bergelar suami isteri. Foto Facebook Hafizzul Hilmi

“Gambar yang tular membuatkan saya ‘kantoi’ dengan isteri yang menyangka saya sedang berdoa ketika itu. Tapi dia taklah marah pun,” katanya.

Bagaimanapun Mohamad Haffizul memohon maaf sekiranya tindakan bermain permainan mudah alih di dalam masjid dianggap tidak menghormati rumah ibadat selain mengundang rasa kurang senang masyarakat.

“Saya minta maaf dan saya berharap anda semua mendoakan kebahagiaan kami berdua,” katanya sambil menambah belum berkesempatan untuk berbulan madu tetapi mengimpikan destinasi percutian di pulau dan tanah tinggi.

Dalam pada itu, dia turut berkongsi ‘rahsia’ bahawa dirinya tidak lagi bermain permainan popular itu sejak hari pernikahan walaupun sebelum ini dia adalah ‘kaki game’.

“Bukan isteri melarang atau saya hendak berhenti bermain, tapi lepas kahwin saya agak sibuk dengan kerja selain tumpukan lebih banyak masa bersama isteri.

“Isteri pun selalu habiskan masa dengan telefon sebab dia menjual produk dalam talian. Kalau saya suka main ‘game’, isteri pula suka ‘selfie’ (swafoto),” katanya secara berseloroh.

Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/03/29/doa-pengantin/#L0VKK8BqkRyrrJif.99

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *