(Video) Misteri rumah Mona Fandey

TRAGEDI pembunuhan ngeri bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Datuk Idros @ Mohamad Mazlan Idris, pada Julai 1993 di Ulu Dong, pernah menggemparkan negara sehingga mukim di dalam daerah Raub, Pahang itu menjadi sebutan orang ramai selama beberapa tahun.

Kini, selepas lebih 21 tahun berlalu, lokasi pembunuhan iaitu rumah separuh siap di dalam kebun di Kampung Pamah Dong, masih lagi wujud, namun ia dipenuhi belukar.

Suasana sunyi dan agak jauh dari laluan orang menjadikan tempat ini seperti diselubungi dengan misteri tersendiri. Kunjungan penulis dan jurugambar pada waktu siang sudah membangkitkan rasa seram dan meremang bulu roma. Tidak dapat dibayangkan kalau berada dalam rumah itu pada waktu malam atau tengah malam!


LUBANG tempat mayat ditanam di kawasan rumah Mona Fandey. – Foto Saifullizan Tamadi
Mayat Mazlan yang dikerat 18 bahagian dijumpai tertanam dalam lubang sedalam kira-kira 1.8 meter di satu bahagian rumah itu dan permukaannya disimen.

Penduduk asal Ulu Dong, Zulkopli Kudin, 62, atau lebih mesra dipanggil Pak Tua, bersetuju membawa penulis meninjau tapak rumah separuh siap itu yang pernah menjadi kediaman sementara kepada pasangan bomoh, Mohd Affandi Abdul Rahman dan isterinya, Maznah Ismail atau Mona Fandey serta pembantu mereka, Juraimi Husin.

Pak Tua yang pernah bertugas di Majlis Daerah Raub, kini menternak ikan kelah di Kampung Pamah Rawas, berhampiran Kampung Pamah Dong, memberitahu penulis, dulunya rumah itu boleh dilihat dengan jelas dari tepi jalan saja.

Tapi kini, persekitarannya ditumbuhi belukar dan penulis dibawa Pak Tua ke lokasi pembunuhan berprofil tinggi itu menerusi jalan belakang, berhampiran tebing curam Sungai Dong.


PAK Tua menunjukkan rumah Mona Fandey yang usang. – Foto Saifullizan Tamadi

Jam menunjukkan tepat 12.15 tengah hari apabila Pak Tua yang menunggang motosikal, tiba di lokasi seperti dijanjikan. Beliau membawa penulis dan jurugambar meredah belukar menuju ke tapak rumah separuh siap itu.

Selepas 10 minit berjalan kaki, lokasi pembunuhan Mazlan, berada betul-betul di hadapan mata kami. Jantung berdegup kencang, berderau darah, namun Pak Tua memberi keyakinan kepada kami, tiada apa-apa akan berlaku.

Persekitarannya sangat sunyi, hanya kedengaran suara cengkerik walaupun pada siang hari. Rumah yang nampak seperti sudah dirobohkan pada beberapa bahagian itu, dipenuhi dengan belukar, bahkan sebatang pokok besar tumbuh di bahagian dapur, manakala akarnya menyusuri dinding rumah.

“Dulu, rumah ini menjadi tumpuan kegiatan khurafat, justeru ia dirobohkan supaya ia tidak boleh didiami. Tapi, inilah tapak lokasi pembunuhan arwah Mazlan,” kata Pak Tua pada awal perbualan kami.

Pak Tua menunjukkan kepada penulis terowong rahsia, bersambung dengan lubang di bawah rumah berkenaan yang menjadi tempat mayat Mazlan ditanam.

Jelasnya, lubang berkenaan asalnya digali sebagai laluan rahsia kepada pasangan bomoh itu untuk masuk ke dalam rumah. Tapi, apabila Mazlan dibunuh, mayatnya ditanam di dalam lubang berkenaan. Pak Tua juga menunjukkan kepada penulis, bekas besar seperti tangki air yang tidak digunakan, dijadikan tempat mayat Mazlan disembunyikan sebelum ditanam di dalam lubang berkenaan dan permukaannya disimen.

“Saya difahamkan, banyak kesan percikan darah ditemui di satu bahagian rumah ini. Polis menggali lubang dipercayai lokasi mayat Mazlan ditanam dan menemui 18 bahagian anggota badannya yang dikerat.


PAK Tua menunjukkan kawasan sungai tempat menjala ikan pada malam kejadian kes pembunuhan itu. – Foto Saifullizan Tamadi

“Pada malam kejadian, saya baharu balik menjala ikan di Sungai Dong, berhampiran rumah berkenaan. Sebaik saja saya melintas di depan rumah itu, saya terpandang kelibat Mona (Fandey). Beliau berdiri di muka pintu rumah separuh siap ini.

“Keesokan harinya, saya dapat tahu pada malam kejadian, sepasukan polis dari Kuala Lumpur, diketuai Tan Sri Zaman Khan, menemui mayat Mazlan ditanam di dalam lubang ini selepas arwah dilaporkan hilang selama beberapa hari,” cerita Pak Tua yang masih kuat kudratnya walaupun semakin dimamah usia.

Pak Tua juga membawa kami meninjau beberapa bahagian lain di dalam rumah itu, termasuk bilik tidur Mona dan suaminya.

Katanya, sesiapa pun tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik berkenaan, kecuali suami isteri itu saja. Terangnya lagi, bilik Juraimi pula terletak di bahagian belakang rumah itu, bersebelahan dengan dapur.


PAK Tua menunjukkan pintu depan rumah Mona Fandey. – Foto Saifullizan Tamadi

Tambah Pak Tua, dua minggu sebelum kejadian pembunuhan itu, beliau pernah terserempak dengan Mona di pekan Ulu Dong berhampiran Sekolah Kebangsaan Ulu Dong, namun mereka tidak sempat berbual.

“Ketika bertemu Mona, hati kecil saya berbisik, ada kejadian buruk akan menimpa Ulu Dong. Tak lama selepas itu, penduduk kampung digemparkan dengan penemuan mayat Mazlan di rumah yang didiami Mona,” kata Pak Tua mengakhiri ceritanya.

Pada 9 Februari 1995, Mahkamah Tinggi Temerloh menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Mohd Affandi, Mona Fandey serta Juraimi apabila didapati bersalah membunuh Mazlan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pamah Dong pada jam 10 malam, 2 Julai dan 12 tengah malam, 8 Julai 1993.

Ketiga-tiga mereka menjalani hukuman gantung hingga mati pada 2 November 2001.

KRONOLOGI: Kes pembunuhan Datuk Mohamad Mazlan Idris

Juraimi adalah tertuduh pertama kes itu, manakala Mona tertuduh ketiga dan Mohd Affandi tertuduh kedua. Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama kerana membunuh Mazlan.
Mereka didapati bersalah pada 9 Februari 1995 oleh Mahkamah Tinggi Temerloh dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
Pembunuhan dipercayai bermotif wang kerana beberapa jam sebelum Mazlan dikerat, pasangan itu memujuknya mengeluarkan wang tunai hampir RM300,000 daripada beberapa bank dengan alasan boleh menggandakan jumlah itu selepas Mazlan mandi bunga?
Wang itu kemudian digunakan untuk membeli kereta Mercedes Benz 280 dengan harga RM125,000 dan telefon bimbit RM10,500 secara tunai. Mereka juga membeli barangan kemas berjumlah hampir RM40,000 selain peralatan elektrik dan perabot (RM20,000).
Mona turut menjalani pembedahan plastik dengan kos lebih RM13,000 pada 15 Julai 1993.
13 Julai 1993: Juraimi ditahan di Balai Polis Dong selepas disyaki menagih dadah dan kemudian ditahan di Balai Polis Raub.
18 Julai 1993: Selepas dua minggu Mazlan gagal dikesan, UMNO Bahagian Raub membuat laporan polis di Balai Polis Raub mengenai kehilangannya.
19 Julai 1993: Polis memulakan siasatan kehilangan Mazlan. Juraimi dibawa polis ke rumah di Ulu Dong dan polis menemui pita video, album gambar, keratan akhbar dan sijil saham milik Mazlan.
20 Julai 1993: Kira-kira jam 11.45 malam, Mohd Affandi dan Mona ditahan di sebuah rumah Jalan 2/27C Seksyen 5, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
21 Julai 1993: Mohd Affandi dibawa ke Balai Polis Raub.
23 Julai 1993: Mayat Mazlan dijumpai di sebuah rumah di Kampung Pamah Dong, Ulu Dong, Raub, Pahang. Mayatnya yang dipotong 18 bahagian tertanam di bilik stor.
1 Ogos 1993: Rangka tiga beranak ditemui di dua tempat di Terengganu, dikatakan dikerat dan ditanam hampir sama dengan pembunuhan Mazlan.
10 Ogos 1993: Polis mendapat perintah reman terhadap Mohd Affandi, Mona dan Juraimi hingga 16 Ogos bagi membantu siasatan polis berhubung kes pembunuhan seorang wanita, Fatimah Mohamad, 32.
15 Ogos 1993: Polis menjumpai beberapa anggota manusia yang ditanam di kawasan bekas rumah yang pernah didiami pasangan bomoh Mohd Affandi dan Mona di Kampung Nelayan, Teluk Gong, Klang.
17 Ogos 1993: Polis dapat perintah mahkamah supaya pasangan bomoh itu dan Juraimi ditahan di Penjara Pudu dan Kajang.
26 Oktober 1993: Siasatan awal kes pembunuhan Mazlan bermula di Mahkamah Majistret Raub.
18 Disember 1993: Mahkamah Majistret Raub memerintahkan kes itu dibawa ke Mahkamah Tinggi Temerloh untuk perbicaraan atas tuduhan membunuh.
3 September 1994: Mohd Affandi dan Mona dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Temerloh atas tuduhan membunuh Mazlan.
12 September 1994: Perbicaraan kes pembunuhan Mazlan bermula di Mahkamah Tinggi Temerloh. Juraimi, Mohd Affandi dan Mona mengaku tidak bersalah atas tuduhan niat bersama membunuh Mazlan.
9 Februari 1995: Mahkamah Tinggi Temerloh menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Mohd Affandi, Mona serta Juraimi kerana bersalah membunuh Mazlan.
10 Februari 1995: Mohd Affandi, Mona dan Juraimi yang didapati bersalah membunuh Mazlan, dihantar ke Penjara Kajang.
Antara 16 Februari 1995 hingga 20 Oktober 1997: Mohd Affandi, Mona dan Juraimi mengemukakan notis rayuan di Mahkamah Tinggi Temerloh dan Mahkamah Rayuan.
24 Oktober 1997: Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram, Datuk Abdul Malek Ahmad dan Datuk Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim menolak rayuan mereka.
2 November 2001: 5.59 pagi, Mona Fandey, Mohd Affandi dan Juraimi digantung serentak di Penjara Kajang.
Mona dan suaminya, Mohd Affandi telah disemadikan di Tanah Perkuburan Ahli-ahli Kariah Masjid Kajang di Kampung Sungai Kantan, Kajang. Juraimi dikebumikan di kampungnya, Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor.

Sumber – https://www.bharian.com.my/node/62324

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *